Semangat Malaysia
Saya ditanya oleh seorang sahabat dari UK ketika bersembang politik di Facebook, “Is there such a thing as Malaysian spirit?” Adakah wujud sesuatu yang boleh disebut sebagai Semangat Malaysia? Beliau masih menunggu jawapan saya. Keghairahan untuk memperkuatkan muafakat di antara semua warga Malaysia yang dijalinkan melalui kefahaman dan penerimaan terhadap kepelbagaian yang dinikmati kita; serta meraikan persamaan yang jauh lebih banyak dibandingkan dengan perbezaan di antara kita; solidariti dan perpaduan tanpa mengira kaum dan agama – semua ini adalah asas yang boleh mempastikan penyempurnaan pembinaan tamadun bangsa Malaysia. Bagi saya, walapun ringkas, inilah Semangat Malaysia. Yang penting juga, inilah semangat panduan perjuangan Pakatan Rakyat. Baru-baru ini, seluruh Malaysia telah menyaksikan suatu pembongkaran yang menimbulkan persoalan sama ada PAS ikhlas, komited malah bersetuju dengan tafsiran Semangat Malaysia yang saya huraikan. Walaupun pada awalnya selepas saya menerima screenshot Whatsapp, pada 1 syawal tadi, saya amat beremosi dan geram, tetapi selepas pemikiran yang lebih mendalam saya berpendapat pembongkaran itu amat bagus untuk PAS dan juga Pakatan Rakyat. Ini tidak bermakna saya tidak berani mengutuk PAS dan hendak membela parti itu sekadar untuk memelihara kepentingan politik parti mereka, parti saya dan diri saya sendiri. Ia tidak bermakna saya tidak mengecam dan membantah pemikiran di sebalik senario itu. Tambahan lagi, DAP di kesemua peringkat telah membuat pendirian yang jelas bahawa analisa senario yang dihuraikan oleh Dr Zuhdi itu suatu yang bercanggah dengan semangat Malaysia serta melanggar prinsip seperjuangan Pakatan Rakyat. Pengakuan harus juga dibuat bahawa ada di antara penyokong dan anggota DAP yang mungkin masih mementingkan pegangan etnik (ethnocentric) dan kurang Semangat Malaysia; tetapi bezanya adalah golongan ini tiada dalam pucuk pimpinan tertinggi DAP. Pemikiran sebegitu dan juara-juaranya, melalui proses evolusi dan demokrasi dalaman parti, telah pun lama disingkirkan. Jikalau sesiapa sebelum ini tidak menyangkakan kewujudan golongan ini, individu atau kumpulan itu haruslah diberi pengiktirafan sebagai pihak yang tidak begitu memahami lumrah dan fitrah politik tanah air kita. Isu yang memerlukan tumpuan bukan wujudnya golongan ini tetapi wujud atau tidak hasrat untuk mengurangkan pengaruh dan perwakilan mereka dalam mekanisme pembuatan keputusan. Ini adalah suatu petanda bahawa sudah tibanya masa untuk kita berhenti mengendahkan arus-aliran yang tidak bersifat Malaysia dan unsur-unsur negatif yang wujud dalam susunan kesepakatan PR supaya kita boleh menyelesaikan masalah-masalah sekarang juga, once and for all. Saya berpendapat bahawasanya bukan salah PAS jika wujud segolongan ahli dan pucuk pimpinannya yang masih berpegang kepada sikap dan politik asobiah pada hari ini. Kita sedari hakikat pahit itu, ekoran terdedahnya tidak kurang dari 10 pimpinan tertinggi PAS yang menginginkan kebarangkalian pemerkasaan politik perkauman. Hanya kerana segolongan dalam PAS yang bersifat sebegitu tidak bermakna PAS dan perjuangannya semenjak pertubuhannya terbatal. Hanya kerana proses ‘men-jadi’ Pakatan Rakyat, di mana kami menangani unsur-unsur negatif secara terbuka dan bukan seperti BN yang merupakan pakar ‘sapuan ke bawah tikar’, tidak bermakna Pakatan Rakyat ‘tak boleh pakai’. Saya rasa tiada siapa yang berani menafikan bahawa sokongan rakyat kepada PAS, DAP dan PKR telah pun terjejas ekoran krisis dan kontroversi yang melanda pentadbiran Kelantan dan Selangor. Tetapi sekiranya ditangani elok bersama oleh ketiga-tiga parti, saya yakin sokongan akan kembali. Tetapi sebelum kepercayaan rakyat jelata, khususnya mereka yang memberi amanah kepada Pakatan Rakyat kerana kerjasama dan keakraban ketiga-tiga parti itu, dikembalikan kepada Pakatan Rakyat, beberapa isu harus ditangani. Pakatan Rakyat terutamanya perlu menjawab sama ada mereka boleh kekal sepakat. Buat masa sekarang, untuk menangani soalan ini PAS perlu menangani masalah dan percanggahan ideologi dalaman mereka sendiri serta mendapatkan konsensus dalaman sama ada PAS hendak kekal dalam PR untuk mengelakkan kekeliruan. Cadangan saya, kerangka diskusi dalaman mereka perlu berdasarkan beberapa soalan pokok seperti berikut: Adakah PAS sanggup dan rela menyingkirkan unsur-unsur yang mementingkan perkauman berbanding kenegaraan? Adakah PAS berkemampuan memupuk semangat persaudaraan di antara kesemua warga Malaysia secara saksama dan memupuskan sifat ketuanan kaum? Adakah PAS berhasrat menjuarakan ketuanan perlembagaan, ketuanan kenegaraan dan ketuanan kemanusiaan? Adakah mereka di dalam PAS yang menjawab YA kepada soalan-soalan ini komited untuk mengarus-perdanakan fikiran dan pendekatan mereka dalam parti mereka? Jika YA, masa depan PAS dan Pakatan, justeru masa depan penjelmaan Semangat Malaysia masih cerah.